Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Antara 35 penghibur daripada pelbagai genre muzik, satu daripadanya yang akan menjayakan Konsert Hausboom Music 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, pada 9 dan 10 September ini ialah kumpulan Exists.
Pemain bes Exists, Musa berkongsi cerita, mereka mendapat lamaran daripada pihak Hausboom sejak tahun lepas lagi.
“Hausboom telah melamar kami sejak tahun lepas lagi. Ini adalah kali pertama kita bekerjasama dengan Hausboom dan kami akan mengadakan persembahan pada malam pertama, 9 September ini.
“Kami diberi tempoh minimum 45 minit atau maksimum satu jam untuk setiap persembahan. Berapa lagu tak dapat dijangka lagi, kami akan cuba penuhi masa yang diberikan sebaik mungkin. jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman konsert tersebut, baru-baru ini.
Bagaimanapun akui Musa untuk konsert tersebut melibatkan ahli kumpulan kecuali Mamat dan Shah.
Ini bukan Exists Reunion. Tiap kali ada show, kami akan tengok masa anggota lain, sama ada mereka kelapangan atau tidak, “ katanya.
Tyrut menyertai konsert berkenaan termasuk nama – nama besar lain antaranya Search, Datuk M.Nasir, Ella, Joe Flizzow, Spider, Insomniacks, Dolla dan ramai lagi.
Tiket-tiket untuk menonton konsert tersebut boleh dibeli dengan harga RM199, RM359, RM1,200 melalui Ticket2u.com dan laman web rasmi Hausboom bagi pembelian tiket secara ansuran di https://shop.hausboom.com
Sebelum terlibat dalam Konsert Hausboom Music 2023, Exists terlebih dahulu akan menunjukkan aksi mereka di The 90 Festival di Gambir Expo Kemayoran, Jakarta, Indonesia pada 12 dan 13 Ogos ini.
Sementara itu, pemain gitar Exists, Along memberitahu, dia dihubungi oleh penganjur festival berkenaan dan sebelum ini pun ada beberapa penganjur dari Indonesia yang menawar kumpulan tersebut untuk persembahan di sana.
“Tahun lepas dapat jemputan dari penganjur lain tapi kami tak dapat hadir. Tahun ini festival lain dan ini kali pertama penganjur jemput kami.
“Pada saya jemputan ini macam satu rezeki sebab kami sudah lama tidak mengadakan persembahan di sana. Bila mendapat peluang untuk ke sana macam satu perkara yang besar kerana ini festival antarabangsa.
“Semua kumpulan 90-an ada di situ seperti Mr. Big, Rick Price, The Cardigans dan boleh dikatakan semua nama band besar ada di situ. Dari Malaysia, Exists saja dan yang lain tu band Indonesia, Australia, US dan UK.
“Alhamdulillah, kita orang terpilih. Saya rasa dah lama mereka nak panggil kami. Rasa ini kali ke lima atau keenam kami mendapat jemputan dari Indonesia untuk buat persembahan di sana. Untuk konsert ini kami akan muncul pada 13 Ogos,” katanya.
Along bagaimanapun tidak menafikan walaupun mendapat beberapa tawaran daripada penganjur sana tapi Exists amat berhati-hati untuk memberi persetujuan.
“Ramai yang panggil tapi kita tengok mana yang betul-betul kerana sebelum ini asyik ada masalah saja. Alhamdulillah yang ini berjalan lancar.
“Untuk information kali ini, sebenarnya saya minta pandangan anggota Padi sebab mereka kenal penganjur ini dah lama. Padi kata penganjur ini okey dan sebab itu kita setuju,” jelasnya. – nasionalkini.my