ISLAMABAD, 8 Jun – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dinama secara rasmi oleh polis sebagai bersubahat dalam kes pembunuhan terbaharu di Pakistan.
Imran, 70, didakwa mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan peguam, Abdul Razzaq Shar yang sebelum ini memfailkan petisyen mahkamah menuntut prosiding hasutan dikenakan terhadap beliau berikutan membubarkan kerajaan selepas usul undi tidak percaya.
Polis mengaitkan bekas pemimpin utama negara yang kini berusia 70 tahun itu `bersubahat membunuh’ dalam kes berkenaan yang berlaku lewat Selasa, lalu.
Abdul Razzaq dilaporkan terbunuh selepas ditembak lelaki bersenjata semasa dalam perjalanan menuju ke Mahkamah Tinggi Balochistan di Quetta.
Dia ditembak lebih 10 kali ketika berada di dalam keretanya dan dilaporkan meninggal dunia dilokasi kejadian.
Anak lelakinya, Siraj Ahmad mendakwa pembunuhan bapanya mempunyai kaitan dengan kes yang difailkan terhadap bekas pemimpin utama negara itu.
Katanya, bapanya sebelum ini menerima ugutan bunuh selepas memfailkan petisyen terhadap pemimpin itu.
“Bapa saya memfailkan kes di bawah Perkara 6 terhadap Imran. Saya pasti inilah sebabnya beliau dan ahli partinya membunuh ayah saya,” katanya.
Sementara itu, Imran menerusi video disiarkan di akaun media sosial PTI menyifatkan tuduhan terhadapnya tidak munasabah.
Katanya, beliau tidak sedar dirinya didakwa dalam kes yang tidak berasas. nasionalkini.my