MEXICO CITY, 10 Julai – Seorang wartawan akhbar terkemuka Mexico, La Jornada, ditemui mati dibunuh semalam, selepas dia dilaporkan hilang di negeri Nayarit, kata pendakwa raya.
Pejabat pendakwa dalam satu kenyataan, berkata Luis Martin Sanchez Iniguez adalah salah seorang daripada tiga wartawan aktif atau bekas pemberita yang diculik di negeri itu sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Pejabat itu berkata, serangan meningkat ke atas wartawan akhbar sering dikaitkan dengan kartel dadah yang berkuasa di negara itu.
Katanya, mayat Sanchez ditemui di sebuah kampung berhampiran ibu negeri Tepic ‘dengan tanda-tanda keganasan’ dan dua mesej kadbod disematkan di dadanya, lapor AFP.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan kandungan mesej kadbod yang diconteng dan ditinggalkan kepada pada mayat Sanchez oleh penculiknya, suatu taktik biasa digunakan oleh penjenayah terancang di Mexico untuk menyemai keganasan.
Pendakwa raya juga berkata, kelmarin lelaki bersenjata dan bertopeng memecah masuk ke rumah guru, Osiris Maldonado de la Paz, yang sebelum ini bekerja untuk media digital, di bandar Xalisco dan dia masih hilang setakat ini.
Wartawan ketiga yang hilang sebelum ini ditemui dalam keadaan masih hidup.
Dalam ketiga-tiga kes, serangan itu adalah ‘berkaitan dengan kerja kewartawanan mereka,” kata pendakwa raya.

Sanchez, 59, adalah wartawan aktif pertama yang dibunuh pada 2023 di Mexico, salah satu negara paling berbahaya di dunia untuk pengamal berita.
Pendakwa raya berkata, siasatan awal menyatakan, Sanchez dibunuh antara 24 dan 48 jam sebelum mayatnya ditemui di kampung El Ahuacate.
La Jornada, yang memetik pihak berkuasa tempatan, melaporkan isterinya Iniguez, Cecilia Lopez, berkata penyiasat mengetahui keberadaannya sejak malam Rabu lalu, sewaktu dia berada di bandar lain melawat saudara mara dan masih bercakap dengannya melalui telefon.
La Jornada adalah akhbar berhaluan kiri yang ditubuhkan pada 1985 di Mexico City dan sudah kehilangan dua wartawannya yang paling terkenal iaitu Miroslava Breach, terbunuh di Chihuahua pada Mac 2017, dan Javier Valdez, yang juga penyumbang kepada AFP, dibunuh di Sinaloa pada Mei tahun yang sama.
Jawatankuasa Melindungi Wartawan, sebuah kumpulan kebebasan akhbar yang berpangkalan di New York pula, mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Sanchez dan menggesa pihak berkuasa Mexico untuk menyiasat dengan segera pembunuhan itu.
Satu kenyataan oleh wartawan di Nayarit dan negeri Mexico yang lain pula menggesa pihak berkuasa tempatan dan Persekutuan ‘menyelesaikan semua penyiasatan’ serta memberi perlindungan kepada keluarga mangsa.
Mei lalu, Marco Aurelio Ramirez, seorang wartawan bersara dan bekas pegawai negeri tengah Mexico Puebla, ditembak dan dibunuh ketika dia meninggalkan rumahnya.
Reporters Without Borders (RSF), bekata sejak 2000, lebih 150 wartawan dibunuh di Mexico.
Pada tahun lalu, kerajaan menyatakan, terdapat 13 pembunuhan wartawan dan kebanyakan jenayah terhadap wartawan tetap tidak dihukum. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN