Oleh Adnan Mohamad
JAKARTA, 29 April – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berdepan detik mencemaskan apabila kepalanya tersangkut dalam tin biskut ketika bermain sendirian di rumahnya di Kampung Bugis, Cempaka Baru, Jakarta, baru-baru ini.
Dalam kejadian mendebarkan pada 26 April lalu, tiga anggota Pemadam Kebakaran (Damkar) Sektor Kemayoran bergegas memberi bantuan kecemasan dan mengambil masa kira-kira 23 minit untuk mengeluarkan tin biskut yang tersangkut di kepala seorang kanak-kanak lelaki berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 9 malam, kanak-kanak itu dipercayai memasukkan sendiri tin biskut di kepalanya dan tidak dapat dikeluarkan semula dari kepalanya menyebabkan mangsa menangis tidak berhenti-henti.
Memetik Kompas Tv.com, kedua ibu bapa kanak-kanak berkenaan menyedari kejadian itu selepas mereka terdengar tangisan anaknya sambil meronta-ronta kepalanya berada di dalam tin tersebut.

Kedua orang tua kanak-kanak itu tanpa membuang masa lalu membawa anaknya ke Balai Damkar untuk mengeluarkan tin biskut tersebut.
“Petugas Damkar mengambil masa 23 minit untuk membuang tin biskut dengan melakukan evakuasi memakai alat bantu mini grinder dan berhasil mengeluarkan tin itu,” katanya.
kejadian berkenaan bukan pertama berlaku di Indonesia berikutan kejadian sama pernah berlaku tahun lalu apabila seorang kanak-kanak juga terpaksa dikejarkan ke Balai Damkar untuk membuka tin biskut yang tersangkut di kepala kanak-kanak terbabit. – nasionalkini.my