Oleh: Iskandar Zulkarnain
KUALA LUMPUR, 29 April – Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani berjaya meredakan suhu politik dalam kalangan rakyat di negara ini.
Ini selepas melihat rakyat yang datang bersalaman dan berswafoto tanpa mengira darjat, parti, kecenderungan politik, agama serta kaum.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menegaskan, rumah terbuka diwujudkan bagi dan tidak bersifat politik.
“Biarpun ada dakwaan menyatakan rumah terbuka ini membazir, menggunakan duit rakyat dan sebagai kempen pilihan raya, tidak ada pun pengunjung yang kisah tentang dakwaan itu.
“Hasilnya apa? Rumah terbuka ini dapat meredakan suhu kebencian politik di kalangan rakyat. Bahagia sungguh hati menikmati suasana ini.
“Majlis ini bukan program VVIP, bukan program kempen politik, tetapi majlis meraikan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Prof Agus sekali lagi menegaskan, bahawa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bukan satu pembaziran seperti mana di dakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini.
Malah, beliau menyifatkan ia sebagai promosi terbaik bagi negeri Kedah.
“Mana mungkin amalan mulia memberi makan dan menyantuni rakyat marhaein satu pembaziran. Lagi mulia kerana ia menyambung silaturahim sesama insan, hanya setahun sekali.
“Berjayakah program tadi? Jika ribuan yang hadir, tentunya berjaya. Setelah acara selesai, saya pulang dengan satu ungkapan: Happy dapat berjumpa dan beramah mesra dengan rakan seagama setelah sebulan berpuasa.
“Happy dapat bergaul dengan rakyat dari pebagai bangsa yang hadir. Hebatnya Malaysia Madani,” katanya lagi.- nasionalkini.my