KUALA LUMPUR 18 April – Rakyat Malaysia yang berlindung di Kompleks Petronas Khartoum di Sudan selepas menjadi sasaran pertempuran berjaya dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.
Pemindahan berkenaan dibuat selepas mengambil kira risiko semua pihak, susulan laporan berkenaan ‘pengambilan paksa’ Kompleks Petronas di Sudan yang turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir .
“Malaysia kini sedang mengambil langkah untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia sebaik keadaan mengizinkan dan memohon kerjasama pihak Sudan bagi menjamin kelancaran usaha itu.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit termasuk pasukan khas yang bekerja sepanjang masa memantau usaha pemindahan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau pada masa sama menegaskan telah meminta Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Kementerian Luar memanggil Duta Besar Sudan bagi menyuarakan pandangan Malaysia dalam konflik terbaharu.
“Dalam pertemuan berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) menekankan keutamaan untuk semua pihak di Sudan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan dipelihara.
“Ia adalah konflik dalaman dan kepentingan warganegara asing tidak harus menjadi sasaran pihak bertelagah.

“Malaysia sedang mengambil langkah membawa pulang kesemua rakyat Malaysia sebaik keadaan mengizinkan dan memohon kerjasama Sudan menjamin kelancaran usaha ini,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, pasukan khas diketuai Kementerian Luar sudah merangka pelan evakuasi untuk membawa pulang 32 rakyat Malaysia berdasarkan data terkini yang dikongsikan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

Beliau menjelaskan tindakan membawa pulang akan dilaksanakan segera bersama negara-negara sahabat sebaik ada peluang berbuat demikian.
Bagaimanapun, tegas keadaan semasa di bandar bergolak itu masih belum mengizinkan proses evakuasi dilakukan kerana pertempuran masih memuncak.
“Saya memohon kerjasama semua, andai ada lagi ahli keluarga yang berada di Sudan tetapi masih tidak menyatakan keberadaan mereka atas kekangan jalinan komunikasi untuk segera berbuat demikian.
“Ini penting bagi perancangan evakuasi kelak. Berdasarkan keadaan semasa, jika terdapat window of opportunity, jangkaan masa diberikan mungkin amat terhad,” katanya.
Terdahulu beliau menjelaskan Perdana Menteri juga bersetuju untuk membawa keluar dari Sudan jika keselamatan terancam.
Konflik di Sudan yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.
Malah pertempuran meletus pada Sabtu telah mengorbankan kira-kira 183 orang terbunuh manakala 1,800 cedera dalam pertempuran itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.