KUALA LUMPUR 5 Mei – Barisan Nasional (BN) menegaskan untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, terdapat pelbagai spekulasi terkini yang cuba dimainkan menerusi media sosial dalam kalangan tertentu yang kehilangan kompas politik kestabilan melalui usaha ancaman serta ugutan bertujuan melihat negara terus berantakan.
“BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara yang aman dan stabil, dipimpin seorang perdana menteri yang disepakati oleh semua parti membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan seperti dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Maka BN menyeru kepada semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 1 Mei lalu, Anwar menyifatkan desas-desus mengenai komplot menjatuhkan Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas sama sekali.
Perdana Menteri yang ditemui selepas menyampaikan Amanat Hari Pekerja 2023 itu berkata, beliau sebaliknya mahu semua jentera kerajaan memberi tumpuan kepada tugas utama iaitu membangunkan negara dan rakyat.
Terbaharu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa komponen parti itu memiliki surat akuan bersumpah (SD) untuk menjadi Perdana Menteri baharu.
Zambry berkata, negara mendambakan sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
“Malaysia perlu muncul semula di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa. Justeru, asas kestabilan perlu dipertahankan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia,” katanya. – nasionalkini.my