KUALA LUMPUR, 24 Mei – Pembekal alat tulis, Pelikan International Corp Bhd sedang berunding dengan bakal pembeli strategik untuk melupuskan keseluruhan aset dan kepentingan perniagaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Pelikan berkata syarikat sudah melantik sebuah bank pelaburan sebagai penasihat prinsipal untuk menasihati lembaga pengarah berhubung pelupusan berkenaan dan merundingkan terma urus niaga.
“Syarikat akan membuat pengumuman sewajarnya kepada Bursa Malaysia sejajar dengan keperluan penyenaraian Pasaran Utama sebaik saja rundingan dimuktamadkan dan perjanjian muktamad dimeterai,” katanya, lapor BH.
Dalam makluman berasingan, Pelikan mengumumkan bahawa ia kembali untung pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, dengan mencatatkan keuntungan bersih RM4.65 juta, berbanding kerugian bersih RM6.12 juta setahun sebelumnya.
Pendapatan pada suku dikaji turut meningkat 18.1 peratus kepada RM236.66 juta daripada RM200.37 juta setahun sebelumnya. – nasionalkini.my