KUALA LUMPUR 27 April – Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang terus menurun pada Mac 2023 kepada -2.9% berbanding -0.8% pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penguncupan itu disebabkan penurunan sektor pertanian, perhutanan & perikanan serta perlombongan yang terus mencatatkan perubahan negatif selama tiga bulan berturut-turut pada tahun ini.

Indeks buah tandan segar kelapa sawit terus jatuh untuk mencatatkan -43.5% pada Mac 2023 daripada -40.5% pada Februari 2023, yang menyumbang kepada penurunan negatif dua digit 28.7% bagi indeks pertanian, perhutanan dan perikanan.
“Indeks perlombongan turun -11.5% dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah turun -21.2% pada Mac 2023.
“Sementara itu, indeks pembuatan naik 1.4% pada Mac 2023, disebabkan peningkatan indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (8.9%) dan pembuatan kelengkapan elektrik.
“Bagi sektor utiliti, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat sebanyak 3.3% dan 1.4%,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.3% pada Mac 2023 berbanding penurunan -0.2% pada bulan sebelumnya.
Mengulas mengenai inflasi di peringkat pengeluar negara terpilih, Mohd Uzir berkata, kebanyakan negara mencatatkan indeks yang sederhana pada Mac di saat kelonggaran harga komoditi dan harga makanan.
Menurutnya, IHPR Amerika Syarikat (AS) meningkat 2.7% selepas peningkatan 4.9% pada Februari 2023, yang boleh dilihat pada permintaan makanan akhir terutamanya dalam buah-buahan segar dan tembikai serta telur untuk kegunaan segar.
“Inflasi pengeluar tahunan Jerman meningkat perlahan kepada satu digit iaitu 7.5% mencatatkan paras terendah sejak Jun 2021 manakala India meningkat sedikit 1.34% mencecah paras terendah dalam 26 bulan berbanding angka sebelumnya. China pula terus menurun sebanyak -2.5% berbanding -1.4% pada bulan sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, ini adalah bulan keenam berturut-turut deflasi pengeluar, mencecah indeks terendah sejak Jun 2020, dengan negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan masing-masing meningkat pada kadar yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya pada kadar 7.2% dan 3.3%.

Jelasnya, pasaran komoditi global akan menghadapi perubahan harga pada tahun-tahun akan datang bukan sahaja disebabkan kebimbangan geopolitik yang berlarutan, tetapi juga sebahagian besarnya tertumpu pada China dan perubahan iklim.
“Economist Intelligent Unit (EIU) mengunjurkan harga minyak akan kekal tinggi pada 2023. Namun, beberapa minggu kebelakangan ini, harga minyak turun mendadak berikutan kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank di AS di samping isu kecairan yang dihadapi oleh Credit Suisse.
“Selain itu, bekalan gas Rusia ke Kesatuan Eropah (EU) kekal terputus, mengekalkan harga yang tinggi pada tahun ini. Rentetan itu, peningkatan permintaan global untuk gas asli cecair (LNG) akan meningkatkan harga gas asli,” tambahnya. – nasionalkini.my