in

Bursa Malaysia terus catat aliran keluar bersih asing

Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, mata wang tempatan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama di sepanjang hari dagangan - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Bursa Malaysia terus merekodkan aliran keluar bersih asing buat minggu kelima berturut-turut walaupun lebih rendah berbanding minggu sebelumnya.

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati jualan ekuiti pelabur asing menurun kepada RM58.7 juta ekuiti daripada RM211 juta.

“Pelabur asing menjadi penjual bersih ekuiti selama 15 minggu daripada 21 minggu tahun ini, dengan mencatat aliran keluar berjumlah RM2.45 bilion,” katanya dalam laporan itu hari ini.

Tiga sektor mencatat aliran keluar asing paling tinggi iaitu perkhidmatan kewangan sebanyak RM122.8 juta, perkhidmatan dan produk pengguna (RM68.3 juta) dan REIT (RM21.9 juta).

Sementara itu, aliran masuk asing direkodkan paling tinggi dalam sektor logistik dan pengangkutan sebanyak RM103.8 juta, teknologi (RM58.6 juta) dan telekomunikasi dan media (RM50.4 juta).

Dalam pada itu, pelabur institusi tempatan kembali menjual ekuiti pada minggu berakhir 26 Mei itu sebanyak RM32.4 juta, setelah merekodkan aliran masuk selama 4 minggu.

Pada minggu tersebut, mereka hanya membeli ekuiti pada Selasa sebanyak RM29.1 juta dan kemudiannya menjual ekuiti sepanjang minggu.

Sepanjang 15 daripada 21 minggu tahun ini, pelabur institusi tempatan telah merekodkan pembelian ekuiti berjumlah RM2.41 bilion dalam pasaran.

Pelabur runcit pula kembali membeli ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM91.1 juta selepas 3 minggu merekodkan aliran keluar bersih.

Aliran masuk pelabur runcit setakat ini berjumlah RM39.9 juta dalam tempoh 10 daripada 21 minggu.

Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research berkata, purata nilai dagangan harian (ADTV) bagi pelabur runcit, pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus, 12.6 peratus dan 18.2 peratus. – nasionalkini.my

IMG 20230529 092413 6 x 4 inch

Dugaan ibu tunggal OKU jaga anak sakit kronik

20230514 100423

PM ucap tahniah kepada Erdogan