in

AirAsia tambah tiga laluan baharu ke China

IMG 20230515 WA0003
Baru-baru ini, AirAsia Malaysia menyambung semula perkhidmatan harian dari Kota Kinabalu ke Wuhan, China - Gambar oleh AirAsia

SEPANG, 15 Mei – AirAsia memperkenalkan tiga laluan baharu dari Kuala Lumpur ke wilayah selatan China, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan asing terbesar yang menyediakan perkhidmatan di negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia.

Perkhidmatan baharu ke Quanzhou dan Guilin yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (AK) dan ke Chengdu (Tianfu) yang dikendalikan oleh AirAsia X Malaysia (D7) kini termasuk dalam rangkaian luas sebanyak 15 laluan dengan lebih 129 penerbangan mingguan antara China dan Malaysia.

Penerbangan ke/dari Quanzhou akan bermula semula dua kali seminggu dan mula beroperasi pada 18 Jun 2023.

Sementara itu, penerbangan ke/dari Guilin akan bermula semula tiga kali seminggu pada 18 Julai 2023 dan penerbangan ke/dari Chengdu (Tianfu) akan bermula dua sekali seminggu pada 1 Julai 2023 dan meningkat kepada tiga kali seminggu mulai 4 Julai 2023.

Baru-baru ini, AirAsia Malaysia turut menyambung semula perkhidmatan harian dari Kota Kinabalu ke Wuhan, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat penerbangan Malaysia dengan sambungan dan kapasiti terbesar di China.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, syarikat meneruskan langkah pengembangan ke China berikutan pembukaan sempadan negara itu baru-baru ini dan juga permintaan yang kukuh.

“China kekal sebagai pasaran utama untuk pertumbuhan masa depan kami dan syarikat akan terus mengkaji beberapa laluan berpotensi lain di China yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benjamin Ismail berkata, laluan terbaru ke Chengdu (Tianfu) akan menjadi asas kepada lebih banyak penerbangan AirAsia X ke China dalam masa terdekat.

“Dalam pada sempadan China dibuka dengan pantas, kami akan melancarkan lebih banyak penerbangan ke/dari negara itu serta meningkatkan kekerapan pada laluan paling popular dan menguntungkan dalam rangkaian kami bagi jangka masa pendek hingga sederhana,” jelasnya.

Sempena meraikan pelancaran laluan-laluan baharu ini, AirAsia menawarkan diskaun 20% untuk semua tempat duduk pada semua penerbangan merentasi 130 destinasinya termasuk semua penerbangan ke/dari China.

Tawaran hebat ini juga tersedia untuk penerbangan ke/dari Malaysia, China, Australia, Indochina, India, Korea Selatan, Jepun dan banyak lagi.

Promosi ini untuk tempahan bermula hari ini sehingga 21 Mei 2023 membabitkan tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember 2023. – nasionalkini.my

20230511 101730

Ibu didakwa amang seksual terhadap anak

IMG 20230515 WA0004

Pasangan suami isteri disiasat tipu jual beli baju secara dalam talian