KUALA LUMPUR 5 Mei – Pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan rangkaian kedua 5G mencetuskan persoalan dalam kalangan penganalisis mengenai pembabitan entiti kedua dan juga ketidaktentuan harga runcit yang ditawarkan perkhidmatan itu.
Ini kerana meskipun cadangan tersebut akan menggalakkan persaingan dalam industri, tetapi masih wujud ketidaktentuan dalam harga runcitnya dan kos spektrum yang perlu dibayar oleh pengendali kedua.
“Dalam hal ini, kami yakin monopoli semasa adalah sementara dan persaingan akan diperkenalkan sebaik sahaja kita beralih kepada DwiRangkaian Borong (DWN).
“Namun, masih tidak jelas mengenai penetapan harga dan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang akan dilantik sebagai entiti kedua,” demikian menurut penganalisis Public Investment Bank, Eltricia Foong dalam nota kajian.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan terdapat kemungkinan pengendali kedua rangkaian 5G akan menyaksikan pembentukan konsortium dalam kalangan MNO.
Tidak mustahil, CelcomDigi, sebagai operator terbesar di negara ini, berkemungkinan akan terlibat, tambahnya.
“Apatah lagi, syarikat ini telah mengumumkan menamatkan perjanjian langganan saham (SSA) dengan Digital Nasional Bhd. (DNB), sekali gus menunjukkan ‘minatnya’ untuk memainkan peranan sebagai pengendali kedua rangkaian 5G.
“Kami juga berpendapat Maxis mungkin akan berminat menjadi pemilik dan pengendali rangkaian 5G ini,” katanya.
Pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian.
Entiti baharu itu akan menjadi rangkaian kedua selepas pelaksanaan 5G ketika ini melalui DNB yang mana langkah itu diambil selepas melaksanakan penelitian menyeluruh mengenai impak kesan pelaksanaan 5G ketika ini.
Rangkaian 5G dengan model SWN melalui DNB akan diteruskan sehingga mencapai 80% liputan kawasan berpenduduk liputan kawasan berpenduduk menjelang akhir 2023 dan selepas itu, model rangkaian 5G akan beralih kepada model dwirangkaian pada Januari 2024.
Sementara itu, penganalisis AmInvestment Bank, Ahmad Ramzani Ramli berkata, struktur semasa SWN akan dikekalkan pada status quo semasa fasa 1 dan MNO dijangka mengambil bahagian sepenuhnya dalam langkah itu.
Namun, menurutnya, tidak jelas sama ada syarikat telekomunikasi akan meneruskan pengambilalihan ekuiti dalam DNB selepas CelcomDigi menamatkan perjanjian SSA dengan DN, memandangkan tarikh untuk memenuhi syarat tersebut telah luput.
“Dalam pada itu, sementara menunggu butiran lanjut mengenai fasa 2, pertindihan kos dengan pemisahan trafik antara dua rangkaian yang bersaing boleh menyebabkan ketidakcekapan dan akan menjejaskan kemampanan infrastruktur 5G negara,” tegasnya. – nasionalkini.my