in ,

Pintu penyelamat daripada diterbangkan ribut

IMG 20230728 WA0037
Aishah menunjukkan kerosakan pada bumbung rumahnya

Oleh Yusuf Shafie

ALOR GAJAH, 28 Julai – “Saya hanya mampu menjerit Allahuakhbar sekuat hati apabila melihat wayar elektrik yang tercabut hampir menyambar pintu jeriji yang sedang dipaut suami.”

Itu detik cemas diceritakan Aishah Abdul Ghani, 56, mengenai kejadian puting beliung melanda kira-kira 30 buah rumah di Kampung Balik Batu dan Kampung Pasir Gembur di Tanjung Bidara di sini pagi tadi.

Menurutnya dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi tadi, satu pusaran angin tiba-tiba muncul dan menerbangkan bumbung bahagian luar dapur rumahnya dan beberapa kediaman lain.

“Masa itu, saya sedang lipat kain sebelum tiba-tiba sahaja cuaca bertukar hujan renyai dan meminta suami, Abdul rahman Daud, 63, angkat kain yang dijemur di belakang rumah.

“Malangnya, sebaik suami pegang sahaja pintu dapur, datang satu pusaran angin yang amat kuat sehingga menerbangkan semua bumbung di belakang.

“Mujurlah sempat suami berpaut kuat pada pintu jeriji,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Balik Batu, di sini hari ini.

Tambahnya, dia bagaimanapun bersyukur apabila wayar elektrik yang tercabut tidak terkena pada pintu jeriji yang dipaut suaminya.

“Alhamdulillah kami selamat dan tidak cedera, cuma mengalami kerugian kerosakan teruk pada bumbung sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian telah diterima pada pukul 9 pagi.

Tambahnya sepasukan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan.

“Berdasarkan bancian awal, kira-kira 10 rumah di Kampung Balik Balik Batu dan lima lagi di Kampung Pasir Gembur mengalami kerosakan,” katanya. – nasionalkini.my

Untitled rasuah 1690526845

Dua individu ditahan disyaki rasuah lebih RM100 juta

IMG 20230728 WA0036

Terpaksa jumpa TMJ adu nasib