in ,

Terpaksa jumpa TMJ adu nasib

IMG 20230728 WA0036
Mohd Kamal menunjukkan khemah tempat dia dan lapan ahli keluarganya tinggal selepas rumah pusaka milik ibu bapanya musnah dalam kebakaran 15 April lalu.

Oleh Luth Adwa

MUAR, 28 Julai – Seorang ketua keluarga di Parit Mislam di sini mungkin terpaksa berjumpa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi mengadu nasib keluarganya yang kini berteduh di bawah khemah sejak hampir empat bulan lalu selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran 15 April lalu.

Menceritakan nasib mereka, lelaki terbabit, Mohd Kamal, 47, berkata, dia dan keluarganya tidur dalam khemah yang hanya di kelilingi kain langsir dan kanvas sebagai penghadang.

“Walaupun ada pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang menjenguk dan menjanjikan bantuan termasuk membina rumah baharu, namun kelibat mereka tidak lagi muncul sehingga hari ini.

“Apa yang saya bimbang keselamatan kami sekeluarga khasnya pada waktu malam, kerana tapak khemah ini turut menjadi laluan binatang buas.

“Minggu lalu, kami anak-beranak terjaga pukul 4.30 pagi kerana khemah hampir terangkat akibat ribut dan hujan lebat,” katanya di sini.

Mohd Kamal berkata, dia bukan meminta simpati tetapi hanya sekadar menuntut janji serta mahukan pihak berkaitan membuka mata tentang nasib mereka.

“Saya mohon prihatin, bukan untuk saya tetapi untuk kedua ibu bapa dan anak-anak saya,” katanya.

Menurutnya, walaupun banyak pihak datang menjenguk termasuk menawarkan bantuan mendapatkan rumah baharu, namun sehingga kini tiada khabar berita.

Dia turut memaklumkan sudah banyak kali berurusan dengan pihak berkaitan bagi bertanyakan perkembangan bantuan namun jawapan diberi ialah, ‘dalam proses untuk kelulusan’.

“Andainya masalah ini tidak mampu diselesaikan, saya terpaksa memohon untuk berjumpa TMJ bagi mengadu nasib kami,” katanya.

Dalam kejadian 15 April lalu kira-kita pukul 11.15 pagi, rumah pusaka milik ibu bapa Mohd Kamal, musnah dalam kebakaran yang berlaku seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Ia dipercayai berpunca daripada litar pintas. Kebakaran turut memusnahkan sebuah bengkel, kereta dan motosikal.

Selepas kejadian, mereka sekeluarga membina khemah hasil bantuan penduduk kampung untuk dijadikan tempat berteduh sementara di hadapan tapak rumah asal. – nasionalkini.my

IMG 20230728 WA0037

Pintu penyelamat daripada diterbangkan ribut

Tanam semangat cinta negara sejak kecil