KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pemain badminton beregu wanita negara, Pearly Tan berjaya memecahkan rekod dunia menerusi pukulan badminton terpantas selepas mencatatkan kelajuan luar biasa iaitu 438 kilometer sejam (km/j).
Kosmo melaporkan, kejayaan tersebut telah meletakkan pemain kebangsaan itu sebagai pemegang gelaran Rekod Dunia Guinness wanita pertama dalam kategori tersebut.
Menerusi satu pengumuman pihak Yonex hari ini, selain Pearly, pemain badminton lelaki India, Smash Rankireddy turut berjaya memecahkan rekod dunia untuk hit badminton terpantas apabila mencatatkan kelajuan 565 km/j.
“Kedua-dua rekod ini menunjukkan bahawa sukan badminton adalah sukan yang jauh lebih pantas daripada sukan-sukan lain seperti bola sepak atau perlumbaan kereta Formula Satu.
“Rekod dari kedua pemain antarabangsa itu telah dicatatkan pada 14 April lalu dan telah disahkan oleh panel rasmi Rekod Dunia Guinness berdasarkan hasil pengukuran kelajuan yang dicatatkan mereka berdua,” tulis pengumuman tersebut.
Rekod kelajuan yang dicatatkan oleh Pearly telah diperolehi di sebuah gimnasium Yonex Co., Ltd. Tokyo Factory di Soka, Saitama, Jepun pada 14 April 2023. – nasionalkini.my