in

BWF larang teknik ‘spin serve’ Denmark

20230513 095601
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Teknik ‘spin serve’ (servis putaran bulu tangkis) diperkenalkan pemain beregu lelaki Denmark, Marcus Rindshoj, kini dilarang sementara di semua kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkuat kuasa serta-merta sehingga 29 Mei ini.

BWF, dalam kenyataan hari ini memaklumkan, larangan itu termasuk pada Kejohanan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China bermula Ahad ini hingga 21 Mei serta Malaysia Masters di Arena Axiata, di sini, dari 23 hingga 28 Mei ini.

Kedua-kedua kejohanan itu menawarkan mata untuk kelayakan Olimpik Paris 2024.

‘Spin serve’ yang sukar dibalas lawan pertama kali dilaporkan digunakan Rindshoj pada perlawanan pusingan kedua Terbuka Poland 2023, pada Mac lalu.

Berdasarkan video dikongsi di internet, ‘spin serve’ ialah teknik di mana pemain memegang bulu tangkis dan menguisnya dengan jari hantu sebelum memukul dengan raket, yang menambah putaran dan menyukarkan lawan membalas pukulan.

BWF berkata, majlis badan induk dunia itu meluluskan keputusan bahawa pemain hanya boleh melepaskan bulu tangkis tanpa menambah putaran sebelum melakukan pukulan.

Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer, berkata mereka menerima maklum balas dari komuniti badminton, termasuk Suruhanjaya Atlet BWF, bahawa servis itu boleh memberi kesan negatif kepada permainan.

“Ia juga diperhatikan secara dalaman bahawa ‘spin serve’ ini mempunyai banyak ciri serupa dengan ‘servis Sidek’ – yang juga tidak dibenarkan.

“Oleh itu, panel pakar mengesyorkan untuk tidak membenarkan teknik ini sehingga rundingan lanjut dengan semua negara anggota badan dunia itu pada mesyuarat agung tahunan pada 27 Mei ini.

“BWF juga mahu mengelak senario di mana Piala Sudirman akan datang dan kejohanan antarabangsa lain, boleh menjadi platform untuk menguji ‘spin serve’ baharu dan akhirnya mengganggu pertandingan.

“Oleh itu, Majlis BWF merasakan yang terbaik untuk mengenakan variasi eksperimen ini untuk tidak membenarkan ‘spin serve’ sehingga Majlis BWF bersidang semula pada 29 Mei untuk perbincangan lanjut,” katanya, lapor Bernama.

Badan dunia itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), pada 1982 telah mengharamkan ‘servis Sidek’,dengan cara sebelah tangan memegang kepala bulu tangkis ke arah atas, manakala bahagian bulunya pulak menghala ke arah lawan sehingga pukulan servis menyukarkan pemain lawan membalas pukulan tersebut. – nasionalkini.my

20230508 092523

KKM mohon JPA serap 3,000 jururawat kontrak ke lantikan tetap

20230513 101921

2 beradik rentung dalam kebakaran