SHAH ALAM, 13 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) mengemukakan antara 2,000 hingga 3,000 permohonan jururawat lantikan kontrak untuk diserap ke jawatan tetap kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tahun ini.
Mengakui wujud keperluan menambah jururawat yang kini berjumlah 165,000 orang, Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni, berkata kesemua permohonan membabitkan jururawat kontrak di seluruh negara itu diajukan kepada JPA untuk kelulusan.
“Keadaan itu mengambil kira faktor pembinaan banyak fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik baharu di seluruh negara, termasuk di kawasan pedalaman yang pastinya memerlukan penambahan kakitangan.
“Jadi, kita memohon kepada JPA, jururawat kontrak diserap ke jawatan tetap,” katanya selepas merasmikan Hari Jururawat Antarabangsa 2023 yang disertai lebih 2,000 jururawat dari seluruh negara, di sini, semalam, lapor BH.
Beliau berkata, pengambilan jururawat kontrak itu sudah dipertimbangkan KKM untuk diserap secara berfasa sekiranya rayuan penambahan itu diluluskan JPA.
“Kita sememangnya sedang melakukan proses pemetaan bagi mengoptimumkan khidmat kakitangan, sama ada doktor, jururawat dan pegawai perubatan,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, menerusi laman Facebooknya, berkata kerajaan sentiasa menghargai dan memberikan sokongan kepada jururawat yang berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat.
Beliau juga berterima kasih atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan sepanjang perkhidmatan mereka dan berharap semua jururawat terus berusaha serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.
Dr Zaliha menyifatkan jururawat aset penting dalam sistem kesihatan negara, memastikan pesakit mendapat rawatan berkualiti dan profesional, menjadi penjaga kepada kesejahteraan pesakit di hospital, pusat kesihatan dan klinik di seluruh negara.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat di Malaysia. Semoga hari ini menjadi peringatan kepada kita semua tentang betapa pentingnya peranan jururawat dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia,” katanya. – nasionalkini.my