KOTA BHARU, 13 Mei – Dua beradik maut selepas dipercayai terperangkap dalam kediaman mereka yang terbakar di Kampung Mentuan Sering, di sini, malam tadi.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 8.30 malam tadi dengan mangsa, Muhammad Huzaifah Ab Halim, 31 dan adiknya, Aisyah Ab Halim, 22, yang juga penghidap ‘Sindrom Down’ ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam keadaan rentung.
Berdasarkan tinjauan BH di lokasi kejadian, anggota bomba serta pihak polis dikatakan cuba mengeluarkan mayat yang dilaporkan ditemui di dalam tandas serta ruang tamu rumah yang terbakar itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Rubiah Ismail, 59, ketika ditemui berkata ketika kejadian dia berada di masjid berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum dimaklumkan orang kampung mengenai kejadian yang menimpa dua anaknya itu.
“Saya bergegas pulang, namun api sudah marak dan tidak dapat berbuat apa-apa. Saya cuba menjerit memanggil kedua-dua anak, namun tidak bersahut,” katanya yang masih lemah susulan terlalu sedih dengan kejdain menimpa dua anaknya itu.
Rubiah berkata, hampir setiap malam dia solat berjemaah di masjid dan meninggalkan dua anaknya itu dalam rumah yang tidak berkunci.
“Anak perempuan saya penghidap ‘Sindrom Down’ manakala yang lelaki juga ada masalah kesihatan.
“Tetapi mereka boleh bergerak seperti biasa…mungkin kerana panik, mereka tidak tahu bagaimana nak keluar daripada rumah (yang terbakar),” katanya.
Dalam pada itu, Rubiah mengakui, jauh di sudut hatinya masih sukar untuk mempercayai apa yang menimpa keluarganya itu, namun reda dan berharap kedua-dua jasad anaknya segera dapat dikeluarkan.
“Dalam sekelip mata, saya diuji kehilangan dua anak sekali gus, namun saya reda dengan ketentuan ini.
“Biasanya merekalah yang menemani saya di rumah memandangkan anak-anak lain sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan sendiri.
“Saya berdoa semoga diri ini terus diberi kekuatan untuk menerima kenyataan atas apa yang berlaku,” katanya. – nasionalkini.my