Iskandar Zulkarnain
BARU-baru ini kecoh di media sosial susulan ketibaan Sandro Tonali ke kelab baharunya, Newcastle United selepas melengkapkan perpindahan saga bernilai 70 juta euro.
Apa menarik perhatian media adalah reaksi teman wanitanya, Juliette Pastore yang terpegun dengan kelengkapan dimiliki kompleks latihan kelab tersebut ketika dibawa melawat ke Newcastle United.
Reaksi itu sekali gus menimbulkan tanda tanya, apakah kemudahan terdapat di kelab lama Tonali iaitu AC Milan di Milanello Sports Center yang dibina pada tahun 1963 sudah ketinggalan zaman?
Kelengkapan usang dan sudah ketinggalan zaman tidak asing bagi kelab di Serie A, ini kerana kebanyakan daripada stadium di sana masih diselia oleh pihak majlis perbandaran.
Malah, seorang pengulas sukan antarabangsa pernah menyatakan, kelengkapan yang terdapat di Stadio Olimpico iaitu stadium milik bersama AS Roma dan Lazio masih menggunakan teknologi kejohanan Olimpik Rom 1960.
Terdahulu, perpindahan Tonali mencetuskan kontroversi malah ada yang mendakwa, ia menjadi di antara punca Pengarah Teknikal AC Milan, Paulo Maldini dipecat.
Maldini dikhabarkan tidak bersetuju dengan keputusan pihak pengurusan mahu ‘mengorbankan’ Tonali bagi mendapatkan dana untuk memperkuatkan pasukan menjelang musim baharu calcio Ogos ini.
Tonali yang turut dikenali sebagai Andrea Pirlo baharu juga dilaporkan, tidak gemar akan idea perpindahan tersebut kerana beliau mahu menjadi ‘bandera’ atau lambang kepada Rossoneri.
Bagaimanapun, seperti kata pepatah bola sepak ‘tiada pemain lebih besar daripada kelab’, beliau terpaksa merelakan dan perpindahan itu menjadikan Tonali pemain paling mahal dalam sejarah Itali.
Sejak diambil alih oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi daripada Mike Ashley pada harga 300 juta pound pada tahun 2021, usaha menambah baik kemudahan infrastruktur di Newcastle United menjadi keutamaan.
Pada tahun 2022, sumber dalaman memberitahu, kelab perlu membuat pelaburan membina kompleks latihan lebih baik daripada sekarang yang disifatkan sebagai ‘memalukan’.
“Kami perlu memiliki kemudahan berkelas dunia jika mahu melahirkan pemain bertaraf dunia,” kata sumber lagi.
Newcastle United baru-baru ini menyatakan, kompleks latihan di Benton kini sedang pesat menjalani proses pengubahsuaian termasuk menambah beberapa kemudahan baharu untuk pemain serta kakitangan sokongan.
Antara diberi perhatian adalah teknologi hidroterapi, kemudahan pemulihan pemain serba moden termasuk restoran untuk menyediakan diet pemakanan terbaik untuk atlet bola sepak profesional.
Turut ditambah baik adalah bilik persalinan, ruang istirahat termasuk bilik pawagam untuk jurulatih Eddie Howe menerangkan analisis sebelum dan selepas perlawanan.
Magpies bagaimanapun tidak mendedahkan berapa wang yang dibelanjakan untuk menaik taraf kompleks latihan tersebut namun Daily Mail melaporkan ia mencecah puluhan juta pound.
Justeru, apakah kelab yang bakal kembali menyertai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sejak tahun 2002 itu kini memiliki infrastruktur bola sepak paling moden di dunia? – nasionalkini.my