Oleh Luth Adwa
ISKANDAR PUTERI, 23 Jun – Hospital Sultanah Aminah (HSA) akan melakukan siasatan terperinci selepas tular rakaman video di TikTok mendakwa kakitangannya menolak seorang pesakit daripada bertemu pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) hospital itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, siasatan dakwaan itu akan dibuat secara dalaman oleh pentadbiran hospital berkenaan.
“Setakat ini, kita tidak tahu punca kejadian, jadi biarlah siasatan dibuat terlebih dahulu, dan perkara ini akan dikendalikan pengurusan hospital sendiri,” katanya selepas merasmikan Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles di Medini di sini.
Sementara itu, Pengarah HSA, Dr. Sal Atan berkata, pengurusan hospital sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti faktor kedatangan pesakit ke JKT sama ada atas kes kecemasan atau bukan.
“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa, HSA sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik. Segala kesulitan yang timbul berhubung perkara ini dikesali,” jelasnya.
Dalam rakaman itu menunjukkan seorang wanita bercakap dalam nada suara yang tinggi.
“Kalau saya berdarah pun tak boleh jumpa doktor, sekarang saya nak jumpa siapa. Hello, jawab saya boleh tak, eh,” kata wanita berkenaan.
Video tersebut bagaimanapun sudah diturunkan daripada aplikasi berkenaan, namun masih menjadi perbualan dalam kalangan netizen. – nasionalkini.my