in ,

UMP kini dikenali sebagai UMPSA 

IMG 20230730 WA0008 1
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin memegang plakad nama dan penjenamaan baharu UMPSA.

 
PEKAN 30 Julai – Seiring usia 21 tahun kewujudan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menelusuri kegemilangan, universiti ini kini dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memperkenankan penggunaan logo dan nama UMPSA mengikut Warta Kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa pada 14 April 2023 yang lalu.

Universiti bermula dengan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM),  iaitu sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ke-16 diwartakan pada 16 Februari 2002. Setelah lima tahun beroperasi, pihak Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pertukaran nama KUKTEM kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuatkuasa mulai 1 Februari 2007.
 
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin, penjenamaan universiti kepada UMPSA tatkala berada di puncak kejayaan ini bertepatan dengan visi universiti ke arah sebuah universiti teknologi terunggul.

Walaupun telah bertukar nama, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya.

“Penjenamaan ini akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara,” katanya.

Ujar beliau, kebolehpasaran graduan UMP membanggakan apabila mencapai 98.67 peratus dan antara tertinggi di Malaysia.

Penjenamaan ini juga akan membina visibility (keterlihatan), reputasi dan keupayaan universiti seiring dengan perkembangan serta pencapaian universiti yang diiktiraf dunia.

 
Selain itu, Universiti  menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi di negara ini.

Tambah Dr Yuserrie, dalam bidang penyelidikan pula, universiti ini memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan untuk manfaat masyarakat seiring slogan “ Teknologi untuk Masyarakat.”


Lebih membanggakan Universiti juga berjaya memperkukuh hubungan baik menjangkau usia 13 tahun hasil jalinan kerjasama akademik antara UMPSA dan institusi pendidikan Jerman, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) bagi mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman dalam sistem pendidikan teknikal negara dalam program ijazah dual di bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrikal bagi melahirkan lebih ramai graduan yang kompeten yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam masa yang sama UMPSA sentiasa berusaha untuk memperkenalkan teknologi serta amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta yang lebih utama menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip-prinsip kelestarian.

Hasil komitmen warga UMPSA yang sebelum ini dikenali sebagai UMP berjaya mencapai kedudukan sebaris dengan universiti terbaik dunia apabila tersenarai di kedudukan 201-250 di dunia dalam Times Higher Education Young University Rankings 2023 (THE Young) yang menyenaraikan universiti terbaik dunia bagi universiti berumur 50 tahun atau lebih muda baru-baru ini. – nasionalkini.my

JDT tewaskan Selangor

IMG 20230730 WA0014

Di manakah Sefuan Taha?