KUALA LUMPUR, 30 Jun – Disebabkan mahu mengaut keuntungan besar, segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import.
Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).
Mendedahkan perkara ini, Presiden Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md Radzi, berkata ada pemborong beras yang berpakat dengan mengambil kesempatan menukar kampit yang turut mengandungi label beras tempatan kepada beras import.
“Ia juga disebabkan kos yang tinggi untuk mengeluarkan beras tempatan sedangkan untuk menjual dengan harga kawalan kerajaan iaitu pada RM26 bagi 10kg adalah sukar.
“Sebenarnya dalam beras import, ada beras tempatan. Puncanya ialah kos. Kos untuk mengeluarkan beras tempatan tidak cukup dengan hanya RM2,600 satu tan, sedangkan beras import boleh dijual pada harga lebih RM2.60 sekilogram,” katanya kepada BH.
Musonnef menjelaskan, harga jualan beras tempatan yang dikisar oleh pengilang kepada pemborong ialah RM2,250 satu tan.
Katanya, pemborong kemudian perlu memproses beras yang diterima, termasuk pembungkusan dan penghantaran yang membabitkan kos tambahan.
“Harga maksimum pada peringkat peruncit pula ialah RM25.40 untuk 10kg dan mereka hanya boleh menjualnya dengan harga maksimum RM26 untuk 10kg.
“Justeru, harga ini tidak boleh menampung kos mengeluarkan beras tempatan iaitu RM2,600 satu tan,” katanya.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Jumaat lalu memaklumkan ketika ini, harga pasaran beras putih import pada peringkat runcit majoritinya masih di paras RM32 dan ke bawah bagi setiap beg 10kg.
Musonnef menambah, penipuan boleh berlaku disebabkan kilang besar yang majoritinya menguasai rantaian industri beras.
“Kilang besar ini mereka juga adalah pengilang, pemborong dan peruncit. Jadi, rantaian itu mereka kuasai,” katanya.
Keadaan yang berlaku juga katanya disebabkan oleh kurang kawal selia ke atas kuota belian padi.
“Sekiranya terdapat kuota pembelian pada peringkat pengilang, monopoli itu tidak akan terjadi dan kos dapat dikawal.
“Sekarang apabila tidak dikawal, harga padi yang tinggi, kos semakin meningkat. Jadi, mereka nak minta kerajaan menaikkan harga beras. Oleh itu, yang terkesan ialah pengguna,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN