in

Beras import dijangka naik harga

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Harga beras import dijangka terus meningkat berikutan kebimbangan terhadap bekalan global dengan memperlihatkan harga beras di Asia mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun, demikian kata penganalisis.

Harga gred beras putih Thailand lima peratus hancur, penanda aras Asia, meningkat kepada AS$648 satu tan, tertinggi sejak Oktober 2008, demikian mengikut Persatuan Pengeksport Beras Thailand pada Rabu.

Cabaran terkini ialah bekalan beras Thailand, pengeksport kedua terbesar berikutan negara itu menggesa petani untuk beralih kepada tanaman yang memerlukan kurang air, ketika negara itu bersiap sedia untuk keadaan lebih kering akibat ketibaan El Nino.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemungkinan harga beras yang diimport untuk naik sememangnya ada kerana ia tidak dikawal oleh kerajaan.

Beliau berkata, tahap sara diri bagi beras adalah 65 peratus pada 2021, justeru menunjukkan terdapat pergantungan terhadap sumber bagi beras.

“Justeru, pengguna mungkin akan mengalihkan perhatian kepada beras putih tempatan yang mana harganya dikawal oleh kerajaan,” katanya kepada BH ketika diminta mengulas mengenai kesan kenaikan harga beras di Asia yang mencecah paras tertinggi sejak 2008.

Media sebelum ini melaporkan bahawa harga beras tempatan masih kekal RM2.60 sekilogram, walaupun ada kenaikan harga beras dari Vietnam dan Thailand, susulan tindakan India melarang eksport beras putih bukan basmati.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin dilaporkan berkata bahawa harga beras import di pasaran dijangka akan meningkat antara RM1 ke RM2 sekampit susulan kelemahan ringgit dan kenaikan kos buruh serta tarif elektrik.

Beliau berkata, kenaikan itu membabitkan beberapa jenis beras, antaranya beras putih import, beras basmathi dan beras wangi.

Namun, katanya, kenaikan itu tidak membabitkan beras tempatan memandangkan ia tertakluk kepada harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.- nasionalkini.my

Elaun nelayan naik bila ekonomi kukuh

Farid cerai Diana talak satu