KUANTAN 14 April – Program Back To School 2023 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) diteruskan tahun ini dengan 200 murid-murid dari luar bandar di tiga daerah di Pahang berpeluang menerima bantuan persekolahan berkenaan.
Ia merupakan satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang melibatkan murid sekolah rendah yang masing-masing menerima bantuan berupa kelengkapan pakaian sekolah, beg sekolah dan alat tulis.
Pengurus besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata sebanyak RM40,000 diperuntukan bagi mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan di Pahang
“Menerusi program ini setiap murid menerima sepasang pakaian seragam sekolah, beg, kasut dan alat tulis bernilai RM200.
“Bantuan yang diberikan setiap tahun itu diharap dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang mungkin pendapatan mereka tidak menentu,” katanya kepada NasionalKini.
Mengulas lanjut katanya antara sekolah yang dipilih menerima bantuan berkenaan terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Terisu, Cameron Highlands dan SK Janda Baik, Bentong dan 100 murid SK Tanjung Gahai, Lipis.
Setiap sekolah yang terpilih akan diwakili 50 pelajar dan kesemua mereka menerima bantuan bernilai RM200.
“Kami percaya ia dapat membantu meringankan perbelanjaan para ibu bapa daripada kelompok B40 menguruskan perbelanjaan dalam membeli kelengkapan anak-anak bagi sesi persekolahan yang baru bermula,” katanya. – NasionalKini