KULIM 20 April – Tiga pasang kekasih termasuk seorang wanita berstatus isteri orang dan suami orang ditangkap khalwat dalam operasi yang dilancarkan pada bulan Ramadan di lokasi berasingan di daerah ini, semalam.
Dalam operasi berkenaan yang dikendalikan Pejabat Agama Kulim, seorang wanita berusia 46 tahun ditahan bersama pasangannya berumur 42 tahun di sebuah kedai makan di Kampung Baru, Merbau Pulas, Kuala Ketil pada pukul 1.26 pagi.
Pegawai Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim, Amir Sharifudin Mat Saad berkata, semasa tangkapan dibuat, pasangan berkenaan mendakwa sedang berehat di sebuah bilik di kedai itu.
Sebelum itu, kata Amir Sharifudin, pasangan berkenaan juga mendakwa kepada orang ramai bahawa mereka sudah berkahwin di Thailand.
“Namun, hasil soal siasat tiga pegawai kami dan beberapa AJK masjid mendapati mereka bersekedudukan kerana tidak bernikah selepas mereka gagal menunjukkan sebarang bukti pernikahan mereka di negara jiran, ” katanya seperti dilapor Harian Metro, semalam.
Beliau berkata, wanita berkenaan bekerja di kedai makan itu manakala lelaki itu sudah beristeri dan bekerja sebagai pemandu lori serta tinggal satu daerah dengan kekasihnya,” katanya lagi.
Kes pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah (EJSNK) 2014.
Dalam operasi yang sama pada pukul 3.15 pagi, pihaknya turut menahan sepasang kekasih berumur 25 tahun dan 29 tahun di Kampung Pemantang Durian kerana berada dalam keadaan menimbulkan syak wasangka.
Selain itu, operasi yang sama pada 3.30 pagi, anggota penguatkuasa pejabat agama itu turut menangkap seorang ibu tunggal berumur 39 tahun bersama duda, di sebuah rumah di Kampung Selarong berikutan berada dalam keadaan mencurigakan. – nasionalkini.my