SEGAMAT, 28 Mei – Tiga maut termasuk dua rentung selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bertembung dengan sebuah kereta sebelum terbabas dalam gaung di Kilometer 172.2 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini semalam.
Kejadian pada jam 6.30 petang itu mengorbankan Hoo Kok Yong, 35, Wong Chee Choy, 62, dan Chong Jui Chat, 67, manakala Lee Lam Chai, 67, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan itu membabitkan kenderaan MPV Toyota Sienta dan kereta Mercedes-Benz.
“Siasatan awal mendapat kemalangan berpunca MPV Toyota Seinta dipandu mangsa lelaki berusia 36 tahun hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Mercedes-Benz berkenaan.
“Pemandu Mercedes-Benz berusia 35 tahun dan seorang penumpang berusia 62 tahun rentung manakala seorang lagi penumpang berusia 67 tahun cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Sienta yang berusia 67 tahun dan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat turut meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Mangsa yang cedera parah itu katanya, dirawat di zon merah Hospital Daerah Segamat (HDS) dan proses bedah siasat mayat juga dijalankan di jabatan forensik hospital berkenaan. – nasionalkini.my