in ,

Ringgit hanya kembali mengukuh jika isu hutang siling AS temui penyelesaian

IMG 20230528 WA0036
Apabila berlaku ketidakpastian ekonomi yang ketara, permintaan terhadap dolar AS akan meningkat.

KUALA LUMPUR 28 Mei – Ringgit dijangka mengukuh semula dan menuju ke paras sokongan sekiranya isu hutang siling Amerika Syarikat (AS) dapat diselesaikan sebelum 1 Jun ini, demikian menurut penganalisis.

Pada penutupan Jumaat, ringgit melantun semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS apabila rundingan had siling hutang berjalan lancar dengan mata wang tempatan juga mengukuh berbanding mata wang utama lain dan serantau.

Unit tempatan itu berakhir pada RM4.5970/6035 berbanding dolar AS meningkat daripada paras penutup RM4.6245/6285 pada Khamis.

Ketua Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, buat masa ini, bacaan dari sudut analisis teknikal menunjukkan paras rintangan dan sokongan dolar AS-RM adalah RM4.6257 dan RM4.5491.

“Sehubungan itu, ringgit bakal bergerak dalam jajaran tersebut. Sekiranya isu hutang siling ini dapat diselesaikan sebelum tempoh tamatnya (1 Jun), berkemungkinan ringgit akan mengukuh dan menuju ke paras sokongan,” katanya kepada nasionalkini.my.

Beliau menjelaskan, isu berkaitan siling hutang kerajaan AS ketika ini menjadi tumpuan utama kerana jika siling hutang kerajaan AS yang kini telah mencecah angka AS$31.4 trilion tidak dinaikkan, kerajaan AS tidak akan mampu untuk membayar hutang serta perbelanjaan operasi.

IMG 20230528 WA0037
Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid

Menurutnya, isu kenaikan siling hutang kerajaan AS telah berlaku sebanyak 60 kali sejak 1974 dan ia sepatutnya bukanlah isu yang serius tetapi telah dijadikan senjata politik dalaman.

“Dalam hal ini, kebimbangan terhadap kelewatan dalam membuat keputusan boleh menjejaskan ekonomi AS yang merupakan negara terbesar didunia dari sudut ekonominya. Pada masa sama, isu ini telah memberikan kesan kepada ekonomi global.

“Kebiasaanya, apabila berlaku ketidakpastian ekonomi yang ketara, permintaan terhadap dolar AS akan meningkat kerana ia dianggap mata wang selamat. Ini menyaksikan isu siling AS hutang telah menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap dolar AS,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, Mohd. Afzanizam berkata, kebiasaannya Bank Negara Malaysia (BNM) akan campur tangan dalam pasaran mata wang bagi menstabilkan kemeruapan ringgit.

IMG 20230528 WA0034
Bank Negara Malaysia akan campur tangan dalam pasaran mata wang bagi menstabilkan kemeruapan ringgit.

Namun, katanya, untuk memastikan nilai ringgit terus mengukuh dalam tempoh jangka panjang, reformasi ekonomi dan tatakelola adalah sesuatu yang perlu dilakukan.

“Ini akan memastikan ekonomi negara berdaya saing dan mampu menarik minat para pelabur dan peniaga serta pelancong. Jika ini dapat dilakukan, nilai ringgit akan meningkat dengan lebih stabil,” tambahnya.

Mengenai inflasi, menurut beliau, kelemahan ringgit sememangnya akan memberi kesan inflasi diimport terutama bagi barangan berkaitan agro makanan memandangkan Malaysia banyak mengimport makanan dari luar.

Kelmarin, BNM dalam kenyataannya menjelaskan penurunan nilai ringgit baru-baru ini tidak terhad kepada Malaysia semata-mata kerana prestasi mata wang itu secara keseluruhan perlu diberikan pertimbangan bukan sahaja berbanding dengan dolar AS, tetapi juga dengan mata wang negara rakan perdagangan utama negara.

Pergerakan ringgit berbanding dengan rakan dagangan utama negara, seperti yang diukur oleh kadar pertukaran efektif nominal (NEER) secara relatif adalah lebih perlahan.

IMG 20230528 WA0035
Ringgit hanya kembali mengukuh jika isu hutang siling AS temui penyelesaian 5

Sementara itu, Kenanga Research dalam nota kajiannya berkata, terdapat banyak ketidaktentuan yang mungkin mempengaruhi trajektori ringgit pada minggu hadapan.

Menurut firma penyelidikan itu, ringgit dijangka meningkat dengan ketara jika Presiden AS, Joe Biden dan Speaker Dewan Rakyat, McCarthy mencapai persetujuan mengenai isu siling hutang AS.

“Bagaimanapun, pasaran juga mungkin mengambil kira laporan pekerjaan AS, di mana bacaan yang lebih baik daripada jangkaan mungkin mendorong pelarasan semula ke atas tinjauan dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed), yang memanfaatkan dolar AS.

“Selain itu, ringgit boleh menghadapi tekanan daripada kelemahan berterusan yuan berikutan keyakinan yang semakin berkurangan terhadap pemulihan ekonomi China,” jelasnya.

Namun, ia menjangkakan ringgit mungkin diniagakan di bawah paras RM4.60 dengan berlegar sekitar RM4.575 berbanding dolar AS, bergantung kepada sejauh mana perjanjian hutang AS yang dicapai. – nasionalkini.my

Boleh semak arah kiblat petang ini

FB IMG 1685260087938

Tiga maut, MPV bertembung kereta