KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan memulakan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sempena Ekspedisi Mahkota Borneo.
Baginda memulakan pendakian pada jam 8.05 pagi dari Pondok Timpohon selepas bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar serta taklimat keselamatan oleh wakil Taman-Taman Sabah.
Ekspedisi tersebut disertai seramai 56 peserta, merangkumi pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Misi menawan puncak tertinggi Asia Tenggara setinggi 4,095.2 meter itu dijadualkan berlangsung selama dua hari satu malam, dengan rombongan baginda dijadualkan bermalam di Panalaban sebelum meneruskan pendakian ke puncak esok.
Penganjuran ekspedisi ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan disiplin, malah menonjolkan kepentingan kawasan konservasi biodiversiti Taman Kinabalu yang kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada Geopark Global UNESCO Kinabalu (KUGGp).

