KUALA LUMPUR 12 Mei – Tafsiran kategori T20 yang hanya bersandarkan kepada angka pendapatan tanpa melihat kepada realiti bebanan kewangan dikhuatiri akan membebankan rakyat, khususnya mereka yang menetap di bandar-bandar besar.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pendapatan isi rumah sebanyak RM13,000 di Kuala Lumpur boleh menyebabkan sesebuah keluarga ‘jatuh miskin’ ke kategori B40 jika mempunyai tanggungan anak yang ramai.
Katanya, klasifikasi pendapatan harus dilakukan dengan lebih teliti sebelum sebarang langkah rasionalisasi subsidi petrol RON95 dilaksanakan oleh kerajaan.
“Contohnya pasangan guru berpendapatan RM6,500 seorang. Jika digabungkan jadi RM13,000, nampak seperti kaya (T20). Tapi kalau ada tiga anak di universiti dan tiga lagi masih bersekolah di bandar besar, realitinya mereka sangat terbeban,” katanya hari ini.
Cadangan penyelarasan subsidi itu sebelum ini dibangkitkan dalam Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 2.0 anjuran Pemuda UMNO yang menggariskan 25 resolusi kedaulatan ekonomi negara.
Buat masa ini, semua pemegang MyKad masih menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95). Kerajaan kini sedang meneliti kaedah terbaik bagi memastikan subsidi berkenaan hanya dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.


