KUALA LUMPUR, 19 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B Sathianathan, yang meninggal dunia semalam.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan bola sepak tanah air,” menurut hantaran itu.
Sathianathan, 65, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 1.25 tengah hari semalam.
Mendiang meninggalkan isteri dan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan.- nasionalkini.my