Oleh Luth Adwa
KOTA TINGGI, 5 Julai – Rantai tangan emas milik seorang wanita, Rahmah Mohd Johan, 60, yang disamun lelaki bertopeng di Felda Air Tawar 4 di sini, Ahad lalu ditemukan selepas suspek kejadian itu diberkas polis.
Ekoran tangkapan itu, polis merampas parang dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pada hari yang sama pukul 9 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kota Tinggi berjaya melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an.
“Suspek ditahan di sebuah rumah di Felda Air Tawar 4, dipercayai terlibat dalam kejadian ini. Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta turut memiliki dua rekod dadah dan dua rekod jenayah lampau.
“Suspek kini ditahan direman selama tujuh hari hingga 9 Julai bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari Ahad lalu, Rahmah yang sedang tidur sendirian di rumahnya di Felda Air Tawar 4, cedera pada bahagian dagu akibat dilibas dengan sebilah parang oleh seorang lelaki bertopeng yang menyamun rantai tangan emasnya. – nasionalkini.my