Oleh: Mohammad Ishak
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Sultan Terengganu, Sultan MIzan Zainal Abiddin memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi penggal Ke-14, esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau diterima mengadap Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah, Chendering bagi memohon perkenan baginda bagi pembubaran DUN pada jam 9 pagi hari ini
Beliau berkata, sebaik pembubaran dibuat pada 28 Jun ini, maka semua urusan pentadbiran akan diteruskan kerajaan interim di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Datuk Yahya Ali.
“Adalah saya, setelah mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bagi memohon ampuni perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Terengganu Bagi Penggal Yang Ke Empat Belas.”
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
“Bahawasanya, menurut Fasal 44 (2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) memperuntukkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh memberhenti atau membubarkan Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook
Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu menyaksikan PAS menguasai 22 kerusi, sekali gus merampas tampuk pentadbiran, manakala selebihnya dimiliki Barisan Nasional (BN).
Terengganu antara enam negeri yang akan mangadakan PRN bersama Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sambilan, Kedah dan Kelantan. – nasionalkini.my