in

Sibuk bertugas tidak halang 35 pegawai polis genggam ijazah

2277791
Deputi Superintenden Surirani Ali, 46 (kiri) dan Asisten Superintenden Mohd Firdaus Ishak, 38 antara 35 pegawai polis yang berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) UUM. - Gambar Sinar Harian

SINTOK, 25 Julai – Walaupun sibuk bertugas namun tidak menghalang seramai 35 pegawai polis pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) pada sesi kedua Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia di Dewan Mu’adzam Shah di sini hari ini.

Menurut Sinar Harian, Program Sarjana Sains (Pengajian Strategik) dengan kerjasama IPK Perlis ini adalah program khas sulung yang ditawarkan pada September 2020 secara separuh masa.

Seorang graduan, Deputi Superintenden Surirani Ali, 46, berkata, sokongan tinggi pengurusan IPK Perlis terutamanya Ketua Polisnya, Datuk Surina Saad yang mahu melihat ramai pegawai polis menaik taraf akademik masing-masing disahut oleh mereka.

“Tempoh pengajian mereka berada di dalam keadaan kritikal dan perlu belajar secara dalam talian terutamanya semasa menjalankan tugasan hakiki semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengawal penularan Covid-19 pada 2020.

“Cabaran bekerja dalam sektor keselamatan, isu ini tidak boleh dipandang remeh dan bila ada tugasan kita boleh lagi berbincang dengan pensyarah untuk mendapatkan pelepasan. Budi bicara yang tinggi diberikan oleh pensyarah kepada pelajar yang sambung belajar ini.

“Kelas dan tugasan kelas akan dibincangkan kemudian bagi memberi laluan untuk menyelesaikan tugasan. Ini sebab mengapa pegawai-pegawai polis lain perlu sambung belajar di UUM,” katanya yang bertugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan Perundangan di IPK Perlis.

Sementara itu, bagi seorang lagi graduan, Asisten Superintenden Mohd Firdaus Ishak, 38 dari jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPK Perlis pula berkata, peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi tahap akademiknya.

Menurutnya, kesibukan kerja hakiki diuruskan sebaik mungkin olehnya malah pernah mengikuti kelas dalam talian semasa menjaga Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika PKP di Simpang Empat, Perlis. – nasionalkini.my

352792531 807920817368067 7159584664284391602 n

KDN tubuh pasukan khas tangani rakyat tanpa dokumen pengenalan

mpv

Tiga maut kemalangan babitkan tiga kenderaan