PEKAN, 24 Julai – Tiga termasuk dua penumpang dan seorang pemandu kereta maut dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 65 Jalan Kuantan-Segamat di sini hari ini.
Mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang kereta jenis Toyota Vios iaitu Ayub Zakaria, 66, dan Podziah Daharun, 65, manakala seorang lagi yang maut adalah penumpang kereta jenis Perodua MyVi iaitu Muhammad Azrin Ahmad Nazri, 19.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, ketika kejadian kenderaan MPV jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu MPV dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Perodua MyVi sebelum kereta jenis Perodua MyVi dilanggar pada bahagian sebelah kanan oleh kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah Segamat.
“Akibat kejadian menyebabkan pemandu kenderaan jenis Toyota Vios dan seorang penumpangnya serta seorang penumpang kereta jenis Perodua MyVi meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu MPV gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan. – nasionalkini.my