in

Tuisyen KAMI di KRT Sri Serdang

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pusat Tuisyen KAMI di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang, Petaling, Selangor, dilancarkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, hari ini.

Ia adalah bagi menyediakan pendidikan tambahan percuma kepada pelajar kurang berkemampuan.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan media memaklumkan, inisiatif itu juga bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik, memenuhi tanggungjawab sosial kementerian itu kepada masyarakat dan merealisasikan aspirasi kerajaan ‘Memperkasa Rakyat’ melalui pendidikan berkualiti.

Menurut kenyataan itu, tuisyen akan dilaksanakan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang digerakkan oleh KRT.

Ia menyasarkan pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 daripada keluarga kurang berkemampuan, berprestasi sederhana serta lemah dalam akademik.

Kenyataan itu juga menyebut, program berkenaan akan dilaksanakan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang menyasarkan komuniti pedalaman, asnaf dan golongan B40.

“Program ini memberi fokus kepada enam mata pelajaran teras bagi SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam.

“Ia dilaksanakan selama satu tahun. Pada enam bulan pertama, kelas tuisyen akan dijalankan berserta pemantauan akademik, bengkel pembangunan modal insan atau pemupukan dan pembangunan.

“Seterusnya, Jejak Lepasan SPM akan dibuat selama enam bulan untuk memantau hala tuju pelajar dan keberhasilan program,” menurut kenyataan itu lapor Bernama.- nasionalkini.my

Agong berkenan berangkat majlis santapan alumni RMAS

Bandi tak kisah digelar gila