Oleh: AD Zafir
KUANTAN, 22 Julai – Perlaksanaan projek kolam takungan hiliran bagi loji rawatan air muka sauk Sungai Mentiga, dekat Chini, Pekan mencapai 87 peratus dan siap sepenuhnya, hujung tahun ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, setakat ini projek berkenaan sudah diperbesarkan berbanding kapasiti asal.
“Pembinaan kolam juga sudah diperbesarkan berbanding kapasiti simpanan air asal iaitu 11 hari kepada 22 hari, dengan mengambil kira tempoh purata kemarau antara 22 hingga 24 hari.
“Jadi, saya jangka ia boleh disiapkan menjelang hujung tahun ini,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Fakhruddin menjelaskan, kolam tadahan itu bukan sahaja berperanan sebagai tempat simpanan air semata-mata, tapi turut berfungsi sebagai pra rawatan air bagi memastikan kualiti bekalan diterima penduduk lebih baik.
“Kolam terbabit boleh menyediakan bekalan air berkualiti kepada penduduk sekitar FELDA Chini, Paloh Hinai, Kampung Gumum, Kampung Mambang dan Padang Rumbia.
“Dijangkakan sehingga 33,000 orang penduduk akan menikmati bekalan air secukupnya,” katanya.
Sementara itu, katanya, usaha untuk mendapatkan peruntukan bagi pelaksanaan projek itu telah dimulakan bekas Perdana Menteri yang juga bekas ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sejak 2017 lagi.
bagaimanapu kerja-kerja penyiapan berkenaan tergendala seketika pada Mei 2018 susulan pertukaran kerajaan Persekutuan.
“Datuk Seri Najib dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kemudiannya mengemukakan permohonan semula peruntukan bagi projek itu dan diluluskan FELDA pada 2020 dengan peruntukan berjumlah RM18 juta.
“Kerja awalan projek sudah dilaksanakan sebelum tergendala sekali lagi akibat pandemik COVID-19.
“Jadi, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Wan Rosdy kerana sentiasa memberi perhatian kepada projek untuk kesejahteraan rakyat di Pahang,” katanya. – nasionalkini.my