MAKAN sambil membaca atau membaca sambil makan, keduanya boleh dilakukan serentak tanpa rasa bosan.
Itu antara ditawarkan kepada pelanggan Adam Cafe yang terletak di Jalan Teluk Sisek, dekat pusat bandar raya Kuantan.
Pemiliknya, Muhammad Adam Balan Abdullah, adalah seorang mualaf dan mengusahakan kafe itu sejak 2017.
“Kami menyediakan menu yang senang untuk pelanggan nikmati, nasi lemak, mee goreng Adam’s Style serta beberapa lagi menu lain,” katanya ketika ditemui wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan, Muhammad Adam menyediakan ruang khas bagi mereka memilih buku untuk dibaca sambil menjamu selera.
“Saya fikir ia boleh membantu pelanggan yang suka membaca, mereka masih boleh meneruskan minat membaca dan menjamu selera dalam masa sama.
“Keselesaan pelanggan sentiasa jadi keutamaan, jadi saya dan pekerja akan pastikan keadaan sekitar premis dalam keadaan bersih,” katanya lagi.
Ditanya mengenai dugaan pernah dihadapi sejak mula berniaga, dia berkata, tahun 2020 adalah tahun paling perit dan mencabar berikutan pandemik COVID-19.
“Ketika itu saya baru habiskan RM60,000 untuk proses ubah suai kedai, tiba-tiba kena tutup akibat PKP (perintah kawalan pergerakan), memang pening dibuatnya.
“Mujurlah kami dapat bertahan dengan pengurangkan kos operasi ke tahap paling minimum,” ujarnya.
Adam Cafe dibuka jam 9 pagi hingga 9 malam, dari Isnin hingga Sabtu.
Selain beroperasi di premis itu, Adam Cafe turut menyediakan perkhidmatan tempahan bagi majlis sambutan hari lahir dan tempahan untuk sumbangan kepada golongan memerlukan.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Adam Cafe boleh melayari media sosial Facebook https://www.facebook.com/profile.php?id=100077281317386&mibextid=ZbWKwL dan Instagram https://instagram.com/adamcafekuantan?igshid=NTc4MTIwNjQ2YQ== sebelum berkunjung ke kafe itu.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN