PASIR PUTEH, 9 Julai – Kelantan mencatatkan pendaratan ikan sebanyak 23,000 tan metrik dengan nilai borong RM244 juta sehingga Mei tahun ini.
Malah, jajahan Pasir Puteh menyumbang kepada 55 peratus daripada keseluruhan pendaratan ikan di negeri ini dengan nilai borong sebanyak RM101 juta, kata Ketua Pengarah Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.
Katanya jumlah berkenaan dilihat separuh daripada keseluruhan pendaratan ikan tahun lalu yang mencatatkan 55,000 tan metrik pendaratan ikan dengan nilai borong berjumlah RM548 juta.
“Empat spesies ikan yang mencatatkan pendaratan dalam tempoh ini ialah tongkol sebanyak 5,267 tan metrik, kembung (2,231 tan metrik), selayang (1,851 tan metrik) dan kerisi (1,623 tan metrik),” katanya selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi di Kompleks Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tok Bali di sini, hari ini.
Terdahulu kira-kira 18 unit tukun tiruan dilabuhka Perikanan Malaysia (DOF) dengan kos RM660,000 di perairan Kelantan, hari ini.
“Sebanyak 11 tukun konservasi dilabuhkan di Perairan Tok Bali di sini, manakala tujuh lagi di Kuala Besar, Kota Bharu yang dijalankan selama dua hari.
“hasil daripada melabuhkan tukun-tukun itu dijangka memberi manfaat kepada 4,191 nelayan di Kelantan,” katanya.
Bagaimanapun Adnan menjelaskan tukun-tukun yang digunakan berbeza di pantai barat dan pantai timur serta disesuaikan dengan lokasi perairan.
“Di perairan Kelantan, tukun berfungsi dua dalam satu iaitu sebagai tempat pembiakan ikan dan menghalang pukat tunda,” katanya
Katanya, jjumlah keseluruhan tukun tiruan yang akan dilabuhkan di seluruh negara pada tahun ini ialah sebanyak 41 unit melibatkan lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor dengan kos berjumlah RM1.31 juta. – nasionalkini.my