Oleh Hajidah Miharbi
TERKINI nama pelakon Diana Danielle menjadi bualan ramai kerana kes rumah tangganya bersama suami, Farid Kamil, namun semua itu tidak menghalang wanita cantik ini menyusun perjalanan dalam kerjaya seninya.
Sempena kedatangan Syawal ini, Diana mengambil peluang muncul dengan single raya berjudul Senandung Raya hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Amylea.
Menurut Diana, lagu terbitan Universal Music Malaysia itu memberikan cabaran tersendiri buat dirinya.
Sebelum ini pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson pernah menghasilkan lima single, antaranya Luar Biasa, Tentang Kita dan duet dengan Calum Scott menerusi lagu Heaven.

“Saya beritahu Amylea yang saya tak berapa bagus menyanyikan lagu Melayu berbanding lagu Inggeris, tapi dia sangat membantu dan memberikan sokongan ketika proses rakaman. Ia bukan semudah disangka, tapi dia sangat membantu.
“Dia juga memberikan tips bagaimana nak memajukan lagi nyanyian bahasa Melayu saya. Saya membesar dan mendengar banyak lagu Melayu, tapi tidak menyanyikannya. Jadi, ia sangat sukar untuk saya di studio.
“Ada perkataan yang kadang kedengaran bunyi Inggeris jadi tak kena untuk lagu Melayu. Ia sesuatu yang janggal. Namun, selepas ulang beberapa kali, kami dapat lakukan juga dengan baik,” ujar wanita kelahiran Houstan, Amerika Syarikat (AS).
Tambah Diana, bekerjasama kali pertama dengan Amylea juga antara cabaran yang perlu dilalui selain proses rakaman video muzik (MV) yang dibuat pada saat akhir.
“Cabaran MV ini adalah masa kerana ia dibuat pada saat akhir. Tapi, penting untuk saya siapkan sebab, saya mahu ia dikeluarkan sempena raya ini.
“Sejujurnya, saya bangga apabila turut memberikan idea dalam MV ini bagaimana nak paparkan situasi sebenar. Melakukan proses menyiapkan MV ini satu pengalaman baharu kepada saya untuk mewujudkan sesuatu yang bermula dengan hanya idea.

“Konsep MV ini adalah kami nak paparkan apa yang dilakukan oleh orang ramai pada setiap hari raya. Disebabkan itu, kami buat peraduan dan ikut pemenang itu balik kampung di Kelantan.
“Jadi, kami rakam situasi sebenar di mana pertemuan berlaku bersama keluarga selepas tidak pulang ke kampung selama beberapa tahun. Apa yang dipaparkan itu tidak sama jika kita reka situasi berkenaan.
“Disebabkan itu, kami mahu MV ini nampak semula jadi dan ‘real’. Nak tunjukkan bagaimana rasa penuh kasih sayang meraikan hari raya dengan keluarga tercinta. Pendek kata, konsep MV ini sedikit tenang tapi penuh makna,” katanya NasionalKini, baru-baru ini.
Diana harap lagu Senandung Raya itu menjadi malar segar seperti kebanyakan lagu raya lain.
“Saya harap lagu ini diterima baik oleh peminat dan masyarakat. Sebab ia bukan seperti kebanyakan lagu raya lain, tapi lagu raya yang berentak R&B. ia mengingatkan saya pada lagu Datuk Sheila Majid.
“Jadi, saya harap orang ramai boleh terima kelainan yang dibawa dalam lagu ini dan raikan perbezaan. Saya selalu dengar orang cakap, kebanyakan lagu raya sama saja. Jadi, untuk lagu ini kami berikan kelainan.
“Mungkin ia adalah risiko, tapi saya percaya peminat hari ini terbuka menerima sesuatu yang lain daripada kebiasaan seperti konsep dan genre lagu.
“Saya juga harap lagu ini menjadi lagu raya yang bakal dimainkan pada setiap tahun selain mengingatkan anda kepada orang tersayang jika merindui mereka tak kira walau di mana berada,” katanya.
Senandung Raya dilancarkan secara rasmi di kesemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia. – NasionalKini.