Oleh Adnan Mohamad
PASIR PUTIH, 17 April – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan 33 kes penyeludupan di beberapa lokasi di Kelantan dengan jumlah cukai RM2.41 juta.
Kesemua kes membabitkan rampasan rokok, mercun, beras serta lain-lain barang itu hasil operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Badai dan Ops Makmur II yang diadakan sejak 27 Mac sehingga 14 April lalu.
Berikutan kegiatan itu semakin ketara, Kelantan adalah ‘lubuk’ penyeludupan berbanding dua negeri lain di Pantai Timur kerana negeri Cik Siti Wan Kembang itu merekodkan jumlah tangkapan tertinggi bagi kegiatan haram dalam tempoh 18 hari.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, kedudukan Kelantan berhampiran negara jiran iaitu Thailand menjadi penyumbang utama bagi aktiviti tersebut.
Beliau berkata, sebanyak 13 kes daripadanya membabitkan rampasan pelbagai jenama rokok bernilai RM597,368.44 dengan nilaian cukai RM2.31 juta.
“Kes kedua tertinggi yang direkodkan ialah rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM26,309.64 dengan nilai cukai RM39,377.01.
“Dua kes membabitkan rampasan beras RM8,770.25 dengan nilai cukai RM3,508.10 dan tujuh kes lain-lain barang RM35,023 (RM62,814.50),” kata Sazali dalam sidang akhbar di sini, seperti dilapor Sinar Harian, semalam.
Sebelum itu, beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama pegawai-pegawai Operasi Khas Bersepadu (Ops Badar dan Ops Makmur II) di Tok Bali, di sini.
Sazali berkata, sepanjang tempoh operasi berkenaan, sebanyak 11 suspek berusia 26 hingga 45 tahun turut ditahan dan siasatan lanjut terhadap suspek masih dilakukan.
“Modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan membawa masuk rokok dari negara jiran, selatan tanah air dan Lembah Klang menggunakan pelbagai jenis kenderaan sama ada lori atau van untuk disimpan sebelum diedarkan.
“Bagi tangkapan mercun pula, suspek membawa masuk dari negara jiran sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – NasionalKini