in ,

Sebak lihat anak dalam but kereta sambil diberi bantuan pernafasan

IMG 20230728 WA0049
Patricia Lau Hui (kiri) bersama suami Chew Chin Siong (dua kiri) menunjukkan gambar bayi mereka yang meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Oleh Luth Adwa

JOHOR BAHARU, 28 Julai – Seorang bapa sebak dan terkilan apabila melihat anak bongsu yang berusia enam bulan berada dalam but kereta di tepi jalan sambil diberi bantuan pernafasan dalam kejadian di Permas Jaya pada 15 Julai lalu.

Bapa bayi berkenaan, Chew Chin Siong, 33, berkata, ketika kejadian itu dia turut mendapati tubuh, bibir dan tapak tangan anak bongsunya, Chew Hau Xuan kebiruan.

Katanya, pada hari kejadian, pengasuh memaklumkan anaknya sesak nafas pada pukul 12 tengah dan dia hanya memaklumkannya hampir sejam selepas itu.

“Dia patut menghubungi kami atau membawa bayi ke klinik namun ketika dipersoal, wanita berusia 20-an itu menyatakan dia tidak boleh bergerak berseorangan dan mendakwa sudah menghubungi ambulans.

“Kemudian saya membawa anak saya ke Hospital Pakar Regency Seri Alam sebelum dimaklumkan anak sudah meninggal dunia,” katanya di sini.

Susulan kejadian itu, Chin Siong berkata, isterinya, Patricia Lau Hui, 32, membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya pada hari sama kerana kecewa dengan kejadian terbabit.

“Kami masih menunggu laporan forensik berkaitan punca kematian anak. Difahamkan, ia mengambil masa hampir sebulan,” katanya.

Sementara itu, Patricia berkata, ketika dia menghantar anak ke pusat asuhan berkenaan, bayinya masih dalam keadaan ceria dan sihat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan yang pihaknya menerima laporan polis dibuat pasangan berkenaan.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya di sini. – nasionalkini.my

Tanam semangat cinta negara sejak kecil

astro

Pekerja Astro ditawar VSS