KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki akan didakwa di mahkamah hari ini berhubung kes pembunuhan kejam seorang penuntut kolej yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, awal bulan ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, seorang lagi suspek yang sebelum ini turut ditahan reman bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam kejadian 1 Mei lalu, mayat mangsa yang berusia 19 tahun ditemukan di kawasan Kampung Padang Simah, Ketereh, dalam keadaan menyedihkan dengan puluhan kesan tikaman di seluruh anggota badan.
Mangsa pada mulanya ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Polis sebelum ini menahan empat individu bagi membantu siasatan, termasuk dua warga emas yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek.


