SHAH ALAM: Kerajaan digesa melaksanakan mekanisme subsidi petrol RON95 yang lebih bersasar bagi memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) terus dilindungi, selain mengurangkan beban kewangan negara.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu perlu memandangkan data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) 2024 menunjukkan 50 peratus isi rumah kategori kaya ketika ini menikmati kira-kira 75 peratus manfaat subsidi bahan api.
Beliau berkata, penjimatan hasil rasionalisasi subsidi tersebut sewajarnya disalurkan kembali kepada golongan yang benar-benar memerlukan dalam bentuk bantuan lebih terus.
“Berdasarkan data median pendapatan isi rumah 2024, pendapatan kumpulan T20 bermula pada paras RM16,202 sebulan. Melalui rasionalisasi ini, kerajaan boleh memulakan langkah berdasarkan tahap pendapatan isi rumah untuk memastikan keberkesanan agihan subsidi.
“Pada masa sama, harga RON95 bersubsidi dicadangkan kekal pada RM1.99 seliter untuk golongan M40 dan B40 bagi mengimbangi kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai isu penyeludupan, Mohd Afzanizam menyarankan penggunaan MyKad sebagai instrumen pemantauan komprehensif bagi membendung ketirisan akibat perbezaan harga bahan api yang ketara dengan negara jiran.


