KUALA LUMPUR 21 Mei – Prospek Pos Malaysia Bhd. masih membimbangkan meskipun kerugian bersihnya semakin mengecil pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023.
Pada suku berkenaan, kerugian bersih kumpulan berkurangan kepada RM27.66 juta daripada RM30.37 juta pada suku sama tahun lalu.
Pendapatan penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan bagaimanapun menurun kepada RM482.27 juta pada suku pertama berbanding RM484.35 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini berikutan perolehan perniagaan pos yang menyusut 13 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan perniagaan kurier yang semakin merosot.
Menurut Kenanga Research, Pos Malaysia masih bergelut dengan pernigaan mel konvensionalnya untuk memastikannya terus kekal relevan dalam era digital.
Malah, firma itu juga telah melihat prestasi kurier semakin merosot kerana ia perlu berdepan persaingan dengan pemain baharu seperti J&T Express dan Ninja Van, yang mengurangkan kadar secara agresif untuk mengembangkan bahagian pasaran.
“Pada masa sama, langkah penjimatan kos yang dilaksanakan kumpulan juga tidak mencukupi untuk menampung hasil daripada perniagaan teras yang lemah,” katanya dalam nota kajian.
Berhati-hati dengan prospek Pos Malaysia, Kenanga Research mengurangkan harga sasarannya kepada 42 sen daripada 46 sen sesaham sebelum ini.
Ia turut mengekalkan pandangan ‘underperform’ terhadap saham Pos Malaysia dengan menjangkakan kumpulan akan terus mencatat kerugian yang lebih besar.
“Kami melebarkan unjuran kerugian bersih kumpulan sebanyak 33% dan 24% masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan FY24, setelah mengambil kira perniagaan posnya yang semakin merosot.
“Ini kerana bagi kami keputusan kewangan suku pertama amat mengecewakan di sebalik pemulihan dalam perkhimatan penerbangan dan logistik,” jelasnya. – nasionalkini.my