KUANTAN, 10 Julai – Projek tebatan dan baik pulih hakisan pantai yang menelan belanja hampir RM60 juta bermula dari Kampung Tanjung Batu di Nenasi sejauh 17 kilometer sedang giat dilaksanakan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek menelan ini mula dilaksanakan pada 28 Mac lalu dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.
“Projek ini sebenarnya telah diluluskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2017 namun ianya terhenti selepas pertukaran kerajaan 2018. Selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, saya memohon peruntukkan untuk melaksanakan projek rakyat ini.
“Projek ini diluluskan semula Kerajaan Persekutuan setelah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berusaha memohon semula ke pihak kementerian malah Perdana Menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berterima kasih kepada Menteri Besar atas usaha berterusan memastikan projek ini dapat dilaksanakan semula.
“Projek ini juga merupakan janji Kerajaan BN Pahang pada PRU-15 lalu dan terbukti ia ditunaikan. Sudah tentu usaha ini membawa banyak kebaikan kepada penduduk, nelayan pesisir pantai disekitar malah mampu meningkatkan lagi sektor pelancongan.
“Saya berharap semua kontraktor yang terlibat dapat melaksanakan projek ini sebaik mungkin dan dapat disiapkan seperti masa yang ditetapkan sekaligus berjaya mengatasi hakisan pantai,” katanya. – nasionalkini.my