Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 10 Julai – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menilai beberapa permohonan projek daripada kerajaaan negeri Melaka sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia selepas pertemuannya dengan Ketua Menteri Melaka. Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di pejabatnya di Seri Negeri pagi tadi.
“Ketika perjumpaan pagi tadi, Ketua Menteri ada serahkan senarai projek-projek yang diperlukan kerana sebagaimana kita tahu tahun depan merupakan TMM2024.
“Jadi perlu ada persediaan berkaitan lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan yang akan kita teliti sebelum menghulurkan bantuan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis perasmian projek jalan pintas baru dari Persimpangan Jalan Alor Gajah Lama (M17) ke Taman Murai Jaya yang disempurnakanAb Rauf di Durian Tunggal di sini hari ini.
Projek bernilai hampir RM8.7 juta itu dapat mengurangkan 60 peratus kesesakan trafik Pekan Durian Tunggal menuju ke Ayer Keroh selain memendekkan tempoh perjalanan daripada 10 minit kepada hanya tiga minit. – nasionalkini.my