in ,

Projek rumah ‘sakit’ dijangka cecah 1,000 kes seluruh negara

WhatsApp Image 2023 07 06 at 2.10.59 PM
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir (kanan) melihat ruang dapur salah sebuah kediaman yang lewat untuk diduduki semasa melawat Residensi Larkin Indah, Johor Bahru.

Oleh Luth Adwa

JOHOR BAHRU, 6 Julai – Jumlah projek perumahan ‘sakit’ di seluruh negara dijangka meningkat sehingga 1,000 kes susulan pasca Covid-19 apabila tempoh pengecualian ‘extension of time’ (EOT) kepada pemaju berakhir awal tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kementerian terbabit kini sedang bertungkus-lumus untuk menangani masalah itu kerana jika tidak ditangani, jumlah projek ‘sakit’ boleh melebihi jumlah tersebut.

“Melihat kepada unjuran yang dibuat pada setiap bulan, kita lihat ada anggaran (projek) yang masih ‘sihat’ mungkin akan jatuh sakit. 

“Sekiranya tidak dipantau rapat, projek sakit ini boleh melangkaui 1,000 tahun ini. Jadi, itulah cabaran kita hadapi untuk meredakan keadaan, bukan sahaja untuk menyiapkan atau melancarkan projek, malah kita bertarung untuk kekang projek yang ‘sihat’ daripada jatuh sakit,” katanya ditemui selepas mengadakan lawatan ke Residensi Larkin Indah di sini hari ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, sehingga 30 April lalu, sebanyak 481 projek perumahan di seluruh negara dikategorikan sebagai ‘sakit’ dengan 118 daripadanya sedang diselesaikan dan pihaknya turut menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menangani pelbagai isu berkaitan.

Jadi, beliau berharap usaha kementerian menyelesaikan masalah projek sakit mendapat kerjasama dan penglibatan kerajaan negeri.

“Ada negeri yang sudah ada ‘task force’ seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor. Jadi, kita di kementerian akan pantau, urusan kelulusan atau tanah dan sebagainya itu semua di peringkat negeri.

“Contoh di Kelantan, apabila kita tinjau projek sakit di sana, kita dapat kerjasama dan penglibatan kerajaan negeri dan mereka setuju untuk wujudkan ‘task force’ juga.

“Jadi, di peringkat ‘task force’ ini akan teliti lebih mendalam untuk pastikan projek yang sakit akan tunjuk kemajuan, atau projek ‘sihat’ yang mungkin jatuh sakit atau projek sakit yang kritikal,” katanya. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 07 06 at 1.43.42 PM

149 keluarga diminta pindah, elak jadi mangsa air pasang

Nik Nazmi Nik Ahmad 2019

Kementerian sedang tunggu laporan tanaman sawit ceroboh tanah Orang Asli