Oleh Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 6 Julai: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang menunggu laporan berkait sebuah projek penanaman sawit di Pahang, yang didakwa menceroboh tanah Orang Asli.
Sebelum ini, NGO RimbaWatch menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) membatalkan kelulusan bagi penilaian impak alam sekitar ke atas projek di Pekan itu, kerana didakwa tidak dipamerkan secara terbuka seperti yang dikehendaki garis panduan JAS.
“Saya tahu perkara ini dan tengah dapatkan laporan untuk tindakan selanjutnya,” kata Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang media selepas mesyuarat panel penasihat perubahan iklim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, RimbaWatch dalam kenyataan berkata ia menerima laporan sebuah syarikat telah memulakan kerja-kerja membersihkan hutan paya gambut berhampiran Kampung Orang Asli Air Hitam dan Tanjung Keruing, selain mempersoalkan bagaimana EIA untuk projek itu boleh diluluskan.
NGO itu mahu JAS menghentikan projek berkenaan kerana mendakwa pembersihan tanah gambut untuk minyak sawit bertentangan dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Tanah Gambut dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.
RimbaWatch turut memaklumkan penduduk kampung yang terjejas sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, polis, dan pengusaha bahawa projek itu menceroboh tanah adat mereka.
Menurutnya, berdasarkan data satelit Global Forest Watch kira-kira 310 hektar hutan telah ditebang, kurang 100 meter dari Kampung Orang Asli Air Hitam.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata kesungguhan kementerian menangani ancaman terhadap hutan dapat dilihat melalui pindaan Akta Perhutanan Negara tahun lepas.
Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas meluluskan rang undang-undang yang membolehkan pesalah hutan simpan kekal berdepan hukuman lebih berat.
“Kami tahu tidak boleh mengambil mudah kerana terdapat ancaman terhadap hutan,” katanya. – nasionalkini.my