KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kira-kira 98,785 anggota tentera dan polis bersama pasangan masing-masing akan menunaikan tanggungjawab undi awal, hari ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bersekali Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Kesemua pusat pengundian awal di enam negeri termasuk di Kuala Terengganu dijadual dibuka serentak pada 8 pagi ini dan ditutup secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi.
PRK Parlimen Kuala Terengganu pula diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.
Pengundian awal ini menyaksikan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing mengundi di 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal.
Sementara, 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal bagi PRK Kuala Terengganu melalui tiga pusat mengundi awal yang kesemuanya dibuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Di IPK Terengganu, pusat pengundian awal pertama yang akan ditutup ialah bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada 12 tengah hari diikuti pusat mengundi DUN Bandar pada 2 petang dan terakhir DUN Ladang pada 5 petang manakala tiada pengundian awal bagi DUN Wakaf Mempelam.
Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN dan PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023. – nasionalkini.my