Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 18 Jun – Hanya sembilan daripada 245 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) belum dimuktamad antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
BN dan PH kini sudah menyelesaikan 99.7 peratus pembahagian kerusi di enam negeri terlibat PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Sembilan kerusi itu masih dalam tempoh perundingan di enam negeri terbabit dan diyakini mampu diselesaikan sebelum hari penamaan calon.
“Ketika ini, Jawatankuasa Perundingan di peringkat BN dan PH sudah memasuki peringkat akhir, iaitu untuk dimuktamadkan di peringkat presiden parti,” selepas mengadakan tinjauan ke Karnival Institusi Pendidikan Mara Negeri Johor di Plaza Larkin.
Bagaimanapun beliau menegaskan soal kerusi yang bertindih itu akan diserahkan pada kepimpinan tertinggi dan presiden parti untuk memperincikan.
Asyraf Wajdi dalam pada itu berkata, perundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH berjalan lancar serta baik sekali gus menepis persepsi negatif terhadap kerajaan Perpaduan.
“Cakap-cakap yang mengatakan kerajaan tidak stabil itu tidak betullah sebab kita sudah pun selesaikan 99.7 peratus pembahagian kerusi.
“Selain itu, kita juga berpuas hati dengan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN kelak,” katanya.- nasionalkini.my